Image © AFP
Andre Villas-Boas menyifatkan siri jelajah Asia pra-musim sebagai satu persediaan baginya menghadapi musim EPL 2011/12. (gambar arkib)
Andre Villas-Boas menyifatkan siri jelajah Asia pra-musim sebagai satu persediaan baginya menghadapi musim EPL 2011/12. (gambar arkib)
KUALA LUMPUR, (D5) - Pengurus baru pasukan Chelsea, Andre Villas-Boas menyifatkan siri jelajah Asia pra-musim sebagai satu persediaan baginya menghadapi musim baru Liga Perdana Inggeris 2011/2012.
Pengurus berusia 33 tahun itu yang baru menggalas tugas sebagai pengurus Chelsea 22 Jun lalu, mahu menguji dan membuat penilaian terhadap bintang-bintangnya sepanjang siri jelajah Asia yang bermula di Malaysia menentang Harimau Muda Khamis ini.
Ketika menghadiri sidang media di Kuala Lumpur untuk menentang skuad Harimau Muda, Villas-Boas mahu para pemainnya beraksi pada tahap kemampuan sebenar mereka.
"Bagi saya jelajah sepanjang 15 hari ini yang bermula di Malaysia, akan digunakan sebaik mungkin bagi menghadapi musim baru.
"Saya juga akan mengguna peluang ini untuk merapatkan hubungan saya dengan pemain-pemain lain kerana saya masih lagi baru," ujar Villas-Boas.
Ketika diajukan soalan tentang persiapan untuk bertemu Harimau Muda, beliau hanya mahu pemain-pemain mengikut segala arahannya dan mempamerkan aksi terbaik.
"Saya akan menggunakan kesemua pemain untuk permainan menentang Harimau Muda nanti.
"Sebahagian pemain akan bermain di separuh masa pertama dan sebahagian lagi di separuh masa kedua untuk menguji kesemua pemain," ujarnya lagi.
Bagi jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, dia mahu anak-anak buahnya menimba pengalaman berguna bagi menghadapi kelayakan Olimpik 2012 London September nanti.
"Barisan muda ini akan bersaing dengan pasukan senior Chelsea dan kita akan gunakan kesempatan ini meraih pengalaman bagi menghadapi kelayakan Olimpik," ujar Kim Swee.
"Ini adalah peluang keemasan mereka menimba ilmu berguna untuk diterapkan pada masa hadapan lebih-lebih lagi menentang Jepun dan juga Baharin dalam pusingan kelayakan Olimpik," tambah Kim Swee.
Chelsea yang hadir dengan hampir kesemua bintangnya termasuk Didier Drogba, Frank Lampard, Fernando Torres dan John Terry pastinya akan menggamatkan suasana Stadium Nasional Bukit Jalil, 8.45 malam Khamis ini.