clik disini

My Blog List

clik here

Friday, 22 July 2011

E-Learning Kaedah Pembelajaran Yang Berkesan

komp_anak
Masyarakat lebih tertumpu kepada komputer
Ledakan IT meletus dimana-mana sepanjang masa. Tanpa mengira tempat dan waktu, evolusinya seakan-akan tidak terhenti. Mula-mula dari segi telekomunikasi, peralatan audio dan video, komputer dan sebagainya, semuanya mengalami evolusi yang begitu pantas.
Namun, IT bagi pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada komputer jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain seperti yang dinyatakan diatas. Ketika komputer mula-mula popular seawal dekat 80-an, penggunaanya lebih menjurus kepada permainan kanak-kanak serta kerja-kerja penaipan data di pejabat, tidak lebih daripada itu.
Di masa itu siapa yang tidak kenal dengan komputer Atari, Amstrad, CAT dan sebagainya yang menjadi kegilaan kanak-kanak memaksa ibu bapanya membeli komputer tersebut semata-mata untuk bermain PACMAN. Namun, semenjak perkakasan IT yang lain dimajukan terutamanya dalam bidang komunikasi data, komputer tidak hanya difokuskan kepada kegunaan penaipan dipejabat ataupun rekreasi sahaja tetapi dihargai lebih dari itu.
Pengkomersilan Internet
Pengkomersilan Internet, penghasilan rangkaian komunikasi data yang lebih pantas dan selamat, pengenalan LAN (Local Area Network), WAN (Wide Area Network), pemajuan teknologi penyimpanan data dari analog kedigital menyebabkan teknologi IT jauh kehadapan.


Begitu juga dengan perkakasan komputer yang semakin berteknologi tinggi serta boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Kepesatan IT ini telah mempengaruhi iklim ataupun atmosfera kemodenan sedunia.
Semuanya tidak mahu ketinggalan. Semua sektor ingin mengetahui, mempelajari serta mengkaji apa yang boleh disumbangkan serta penyumbangan yang boleh dilakukan oleh dunia IT sendiri. Dari sektor perubatan, ekonomi, perkapalan, astronomi, hartanah, pendidikan dan sebagainya,semuanya ketika ini berlandaskan IT. Pendidikan amnya mengalami perubahan yang sangat ketara.
Bermula dengan penggunaan papan hitam tradisional disekolah, kemudian beralih kepapan putih, kemudian kealat bantuan mengajar seperti OHP dan seterusnya yang terkini pembelajaran secara on-line ataupun dalam bahasa ITnya dewasa kini e-learning. E-learning yang seakan-akan mitos 10 tahun dulu kini menjadi keperluan semenjak web mendominasi Internet.
Di Malaysia, e-learning masih lagi 'baru' kehadirannya jika dibandingkan dengan negara-negara Barat khasnya di US dimana setengah sekolah telah menjadikan ianya sebagai satu kaedah asas pembelajaran bagi menggantikan teknik-teknik pembelajaran tradisional.
E-Learning
E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan on-line yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd., UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya.
Walaupun yurannya kelihatan agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar.
Di Amerika Syarikat  pula, terdapat beribu-ribu laman web pendidikan yang mengatakan bahawa mereka menyediakan program e-learning. Namun menurut Linda C. Joseph, penyelidik dari Columbus (Ohio) Public Schools, Konsep e-learning tidak hanya sekadar penghantaran nota-nota kuliah kepada pelajar ataupun penghantaran tugasan kepada pensyarah melalui e-mail semata-mata tetapi yang sebenarnya pengisian web tersebut mestilah dipenuhi dengan forum/perbincangan dua pihak secara komunikasi dua hala, pengorganisasian maklumat dengan lebih teratur dari segi nota kuliah, jadual, bayaran yuran, tutorial dan juga peperiksaan.Dengan menemui kriteria yang dinyatakan diatas, pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif dapat dilaksanakan.
Di antara contoh-contoh kelas maya yang terdapat di Amerika Syarikat ialah seperti California State University yang menawarkan program sijil perguaman kepada pemohon-pemohon yang berkelulusa ijazah dan lulus dalam Carlifonia Basic Education Skills Test (CBEST). Program ini amat berguna bagi mereka yang ingin belajar dalam kadar yang segera. Program yang dipersajikan secara maya ini direkabentuk betul-betul seperti didalam bilik kuliah dimana pelajar-pelajar boleh berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain serta profesor mereka melalui laman web.
Pada setiap hari Sabtu pula, pelajar-pelajar akan menghadiri seminar secara maya.Bagi Universiti Of Nebraska pula, e-learning melalui web lebih bersifat komersial dimana pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang disukai untuk melengkapkan pengajiannya diperingkat sekolah tinggi ataupun diploma.
Perkembangan e-learning dinegara kita agak membanggakan kerana terdapat organisasi-organisasi besar yang tidak mementingkan komersial sebaliknya lebih menekankan kepada penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.
E-learning tidak hanya mencakupi pembelajaran jarak jauh secara maya malahan melibatkan 'Web Portal'. Kelebihan web portal, pendidikan ini ialah ia mempunyai bank-bank ujian, pelan pengajaran, bilik darjah maya, bahan-bahan pengajaran untuk guru, ujian untuk pelajar, dan direktori laman-laman web yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran serta maklumat-maklumat yang berguna seperti maklumat-maklumat sekolah, kelender tahunan, aktiviti pendidikan dan sebagainya. Antara organisasi yang melibatkan diri dalam menjayakan penubuhan web portal ini ialah seperti MIMOS Berhad melalui laman webnya, www.cikgu.net.my dan juga Kumpulan Utusan yang melancarkan laman webnya, www.tutor.com.my baru-baru ini.
Cikgu.Net
Cikgu.Net (disebut Cikgu dot Net) merupakan portal pendidikan yang pertama sekali dilancarkan dinegara kita pada bulan Mac 2000. Dengan isi kandungan yang berbahasa Melayu, ia berjaya menarik ribuan pengguna yang mendaftar dengannya, dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 120 ribu pengunjung telah pun melawat portal tersebut. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraannya, kesesuaiannya dengan iklim pendidikan tempatan serta aktiviti kokurikulum dapat diselaraskan.
Dengan disokong kuat oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pearson Education Malaysia, DBP serta beberapa lagi organisasi besar, sumbangan Cikgu Net terhadap pendidikan negara sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Begitu juga dengan Portal Pendidikan Utusan yang mendapat sambutan hangat ketika mula-mula dilancarkan.
Secara amnya, pembelajaran jarak jauh secara maya lebih popular dinegara kita terutamanay bagi kolej-kolej dan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan usahasama dengan universiti luar negeri dengan menawarkan program ijazah sarjana muda dan lepasan ijazah.
Antaranya ialah seperti Hartford Management Centre Sdn Bhd menawarkan program peringkat sarjana dengan usahasama University Of Newcastle, Australia, TL Management Centre Sdn Bhd yang menawarkan program ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan usahasama Preston University, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Universiti maya tunggal tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya sepenuhnya ialah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Sektor swasta dilihat sebagai lebih mengeksplorisasi penggunaan e-learning.
Platform
Bagi syarikat-syarikat antarabangsa, e-learning dijadikan platform untuk meningkatkan pengetahuan serta skil kakitangannya. IBM Corporation misalnya, menggunakan 25% daripada latihan dalamannya lebih berbentuk jarak jauh secara maya. Latihan secara maya ini merangkumi 135,000 kakitangannya diseluruh dunia. Dan pada tahun 1999, IBM Corperation telah berjaya menjimatkan kos latihan sebanyak RM760 juta (USD 200 juta). Dengan kaedah ini juga, pertukaran teknologi dan pengetahuan dapat dilakukan secara mudah dan pantas.
Mengikut laporan International Data Corporation (IDC), pada ketika ini 87% daripada kaedah latihan disektor swasta adalah secara tradisional iaitu pengajar bersemuka dengan pelajar secara berhadapan didunia nyata tetapi dengan kehadiran konsep e-learning, statistik latihan tradisional dijangka merosot kepada 74% pada tahun 2004 bagi kawasan Asia Pasifik. Menurut IDC lagi, pertumbuhan e-learning dijangka meningkat sehingga 94% diantara tahun 1999 sehingga 2004.
Namun sejauh mana keberkesanan kaedah e-learning, belum dapat ditentukan dan kajian keatasnya masih lagi dilakukan. Konsep e-learning dinegara kita masih lagi diperingakat permulaan dan memerlukan banyak pengkajian keatasnya bagi meningkatkan lagi kebolehcapaian serta keberkesanannya kepada kumpulan sasaran samaada pelajar, kakitangan syarikat mahupun pengguna-pengguna Internet dari seluruh dunia. Berdasarkan tanggapan pengurus jualan e-business IBM Corporation kawasan Asia Pasifik, Heah Kheng Lye bahawa yang menjadi penghalang kepada kemajuan e-learning bukanlah teknologinya tetapi sumber manusia, ada benarnya.
Pendekatan yang betul perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan e-learning. Peralihan atau anjakan teknologi perlu diseimbangkan dengan peralihan pemikiran yang lebih positif. Yang lebih penting tenaga-tenaga pengajar, amnya diuniversiti mestilah bersikap positif dengan konsep ini serta menggalakkan para pelajar menggunakan kaedah ini. Seharusnya dengan adanya konsep ini, tenaga-tenaga pengajar dapat mengeksploitasinya sebaik mungkin bukannya dengan mencemburuinya.
Celik IT
Dengan disokong oleh kecanggihan sistem rangkaian seperti Internet dan Intranet serta teknologi digital, konsep e-learning seperti web portal, dan on-line jarak jauh seharusnya dimanfaatkan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Adalah diharapkan dengan adanya konsep e-learning ini, mutu pendidikan negara akan meningkat dan juga produktiviti bagi sesebuah organisasi akan bertambah baik menerusi latihan dalaman seperti IBM Corporation.
Secara tidak langsung visi negara dalam usaha menambahkan kadar celik IT sedikit sebanyak akan berjaya dalam tempoh terdekat ini. Kaedah e-learning ini seharusnya diperkenalkan secara lebih meluas bermula dari peringkat sekolah rendah bagi memupuk pelajar khasnya kanak-kanak mencintai ilmu pengetahuan disamping merangsang minat mereka untuk belajar.
Sumber Maklumat: Majalah PC

Popular Posts

clik here