Image © AREPKULAL
Pemain Chelsea, Florence Malouda dikawal ketat oleh para pemain Malaysia ketika perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 21 Julai 2011. Chelsea menang 1-0.
Pemain Chelsea, Florence Malouda dikawal ketat oleh para pemain Malaysia ketika perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 21 Julai 2011. Chelsea menang 1-0.
KUALA LUMPUR, (D5) - Gol jaringan Didier Drogba pada babak kedua memberikan Chelsea kemenangan tipis 1-0 menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Gol hasil dari tendangan percuma Drogba pada minit ke-79 itu yang singgah di tiang gol sebelum terkena badan penjaga gol gantian pasukan kebangsaan, Mohd Izham Tarmizi di lihat agak kontroversi kerana beberapa ulang tayang menunjukkan bola tidak melepasi garisan.
Namun penjaga garisan, M. Sivanesan mengisyaratkan bola tersebut sudah melintas garisan.
Chelsea yang menurunkan hampir kesemua bintang mereka menguasai permainan namun hanya berjaya menang tipis.
Mereka memulakan gerakan seawal minit kedua apabila penyerang merbahaya, Fernando Torres melakukan rembatan kencang namun berjaya diselamatkan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.
Chelsea mengasak kubu Malaysia dengan gerakan pemain, Yossi Benayoun pada minit ke-13 menghantar bola kepada Salomon Kalou, yang gagal merembat tepat ke pintu gol.
Malaysia sekali lagi cemas pada minit ke-17 apabila salah faham berlaku di antara kapten, Norhafiz Zamani Misbah dan S. Subramaniam mengakibatkan bola terlepas ke kaki Frank Lampard namun percubaannya tersasar.
Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Chelsea terus mengatur serangan kali ini percubaan dari pemain gantian, John Obi Mikel namun rembatannya kurang bertenaga dan diselamatkan Farizal.
Pasukan negara mendapat peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan pada minit ke-64, apabila gerakan solo Syahrul Azwari yang bertukar-tukar hantaran dengan A. Tamil Arasu memberi ruang kepada Syahrul untuk menguji penjaga gol Chelsea, Hilario namun bola itu tinggi tersasar.
Malaysia yanng menurunkan skuad Olimpik dikuatkan dengan sembilan orang pemain berpengalaman harus di beri pujian kerana aksi mereka yang berhempas pulas mengekang asakan pasukan Chelsea.
Farizal Marlias bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya pasukan Chelsea.
Anak-anak buah Ong Kim Swee itu mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan di minit akhir permainan apabila Tamil Arasu yang langsung tidak dikawal melepaskan rembatan yang tersasar jauh sekaligus mengekalkan kedudukan 1-0 kepada Chelsea.