Semakin hari, semakin banyak berita, video, gambar dan apa jua bentuk maklumat diselitkan dengan keterangan mengenai Teori Konspirasi Freemason dan Illuminati. Sememangnya, kepastian mengenai kewujudan organisasi Freemason dan Illuminati ini diragukan. Ia boleh jadi wujud ataupun tidak. Saya tidak menolak kemungkinan bahawa organisasi ini ada. Dan mengikut pandangan segelintir pihak mereka menyatakan bahawa Freemason adalah sebuah organisasi yang sangat bersifat rahsia. Freemason dicetuskan oleh para Ksatria Templar (Pejuang Salib) yang pulang ke Eropah dari Jurusalem setelah kalah dari perang salib.
Dan saya tidak langsung ingin membincangkan mengenai kewujudan Freemason dan teori konspirasi mereka. Cuma yang saya tahu, asal gerakan-gerakan dakyah Kristian ini datang daripada Barat. Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya Great Britain. Sememangnya kita jahil dan lemah. Pada masa sekarang ini, semakin ramai orang yang mengkaji teori konspirasi ini, dan ia bukanlah satu tindakan yang salah. Dan pada saya ia juga bukanlah tindakan yang bijak. Berbanding menghabiskan masa mengkaji teori konspirasi ini, ada baiknya kita mengkaji Al-Quran dan Hadith. Jika kuat fahaman kita terhadap Al-Quran dan Hadith, mana mungkin teori konspirasi itu dapat menggugat keimanan kita. Dan di dalam Al-Quran dan Hadith itu sendiri pasti ada penyelesaian untuk kita menghadapi fitnah akhir zaman ini.
Jadi setelah sekian lama saya mengkaji dan membaca mengenai teori konspirasi ini, ianya menjadi semakin bercelaru. Dan saya mengambil keputusan untuk berhenti mengkaji mengenai teori konspirasi ini.