clik disini

My Blog List

clik here

Monday, 18 July 2011

Adam ‘terkejut’ aksi pemain negara

KEMAMPUAN Harimau Malaya memberi tentangan meskipun tumpas 3-6 kepada Liverpool pada aksi persahabatan kelmarin nyata tidak diduga pemain baru kelab gergasi Inggeris itu, Charlie Adam.
Pada awalnya dia menyangka Malaysia hanya boleh berbangga dengan satu gol cantik sepakan percuma kapten Safiq Rahim namun kebangkitan menerusi dua gol pantas babak kedua oleh Mohd Safee Sali membuatkan Adam tidak lokek memberikan pujian kepada skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu.

“Saya gembira dengan permainan yang dipamerkan kedua-dua pasukan, ternyata Malaysia bermain baik. Tidak dinafikan Malaysia memiliki beberapa pemain yang hebat.
“Pada babak pertama memang sukar buat kami tapi pada babak kedua permainan lebih terbuka dan ia membuatkan penonton yang hadir terhibur,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan sempena Jelajah Asia Liverpool 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Adam yang dibawa masuk dari Blackpool menerusi bayaran �7.5 juta (RM36 juta) menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 sebelum Safiq Rahim menyamakan kedudukan di minit ke-41.

Namun the Reds mengganas dengan menghasilkan gol menerusi David Ngog m-67 dan 69, Maxi Rodriguez m-74 dan 90 serta Dirk Kuyt m-90.

Malaysia pula menambah gol hasil jaringan Safee pada m-79 dan 81.

Bagi Adam, pengalaman sepanjang berada di Malaysia amat bermakna untuk dirinya sebaik menyertai Liverpool, juara 18 kali Liga Perdana Inggeris kendalian Kenny Dalglish.
Apatah lagi pemain tengah itu menjaringkan gol pertamanya dalam penampilan keduanya bersama the Reds selepas aksi persahabatan menentang Guandong Sunray Cave sebelum ini.

“Bukan satu gol, tapi dua gol,” katanya sambil berseloroh mengenai gol sepakan penaltinya yang terpaksa diambil dua kali dalam perlawanan dengan Malaysia.

“Saya amat gembira berada di sini, suasananya cukup hebat. Kami berjaya menjaringkan enam gol tapi lebih mustahak adalah kami mencapai tahap kecergasan semula. Harap kami akan berada di tahap terbaik apabila musim liga bermula untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Liverpool kini meneruskan Jelajah Asia mereka dengan singgah ke Singapura sebelum pulang ke England.



Popular Posts

clik here